Monday, November 17, 2014

PEMBIAKAN POKOK


KEBANYAKAN anak pokok kemunting boleh ditemui di bawah pokok besar di tepi belukar atau di hutan. Banyak yang tumbuh di sekitar pangkal batang pokok yang besar. Kenapa begitu? Ia sebenarnya tumbuh daripada biji benih yang dibawa oleh burung-burung yang gemar memakan buahnya yang sudah matang atau masak.

Ini bermakna- proses pertumbuhan pokok ini adalah hasil bawaan biji benih oleh unggas-unggas yang bertenggek pada dahan pokok. Hasil buangan biji benih yang dimakan menyebabkan tumbuhnya anak kemunting di sekitar pokok. Lazimnya, lebih daripada satu pokok.

Bagaimanapun, eksperimen saya menyemai biji benih yang diambil dari buah yang sudah masak ternyata menemui kegagalan. Lebih dua minggu saya menyemai biji benih dalam 20 petak semaian menggunakan media peat Holand.. namun gagal. Mungkin biji benih ini memerlukan top soil atau tanah yang berpasir.

Kaedah yang paling mudah bagi saya menambah koleksi pokok ialah melakukan keratan batang muda, melumurkannya dengan penggalak akar dan masukkan dalam polibag yang mengandungi sama banyak bahagian cocopeat, tanah pasir dan blended peat. Hasilnya dapat dilihat dalam tempoh lebih kurang seminggu... ceding atau pucuk tunasnya mula menerjahi kulit batangnya.

Keratan ini, saya tempatkan di kawasan yang redup dan sentiasa memastikan media tanaman yang digunakan sentiasa lembab. Paling tidak saya akan menyiramnya dua kali sehari. Penggunaan polibag amat penting kerana lubang-lubang yang sedia ada membolehkan lebihan air keluar dan tidak merosakkan kulit batang yang dipacak di dalam polibag. Apa kata... Kalau anda yang memiliki pokok kemunting di laman rumah mencubanya..

Semoga pokok liar ini akan menjadi pokok hiasan laman yang tidak lagi menghadapi ancaman kepupusan baka disebabkan pesatnya pembangunan dan penrokaan tanah.

No comments:

Post a Comment