Monday, November 17, 2014

PEMBIAKAN POKOK


KEBANYAKAN anak pokok kemunting boleh ditemui di bawah pokok besar di tepi belukar atau di hutan. Banyak yang tumbuh di sekitar pangkal batang pokok yang besar. Kenapa begitu? Ia sebenarnya tumbuh daripada biji benih yang dibawa oleh burung-burung yang gemar memakan buahnya yang sudah matang atau masak.

Ini bermakna- proses pertumbuhan pokok ini adalah hasil bawaan biji benih oleh unggas-unggas yang bertenggek pada dahan pokok. Hasil buangan biji benih yang dimakan menyebabkan tumbuhnya anak kemunting di sekitar pokok. Lazimnya, lebih daripada satu pokok.

Bagaimanapun, eksperimen saya menyemai biji benih yang diambil dari buah yang sudah masak ternyata menemui kegagalan. Lebih dua minggu saya menyemai biji benih dalam 20 petak semaian menggunakan media peat Holand.. namun gagal. Mungkin biji benih ini memerlukan top soil atau tanah yang berpasir.

Kaedah yang paling mudah bagi saya menambah koleksi pokok ialah melakukan keratan batang muda, melumurkannya dengan penggalak akar dan masukkan dalam polibag yang mengandungi sama banyak bahagian cocopeat, tanah pasir dan blended peat. Hasilnya dapat dilihat dalam tempoh lebih kurang seminggu... ceding atau pucuk tunasnya mula menerjahi kulit batangnya.

Keratan ini, saya tempatkan di kawasan yang redup dan sentiasa memastikan media tanaman yang digunakan sentiasa lembab. Paling tidak saya akan menyiramnya dua kali sehari. Penggunaan polibag amat penting kerana lubang-lubang yang sedia ada membolehkan lebihan air keluar dan tidak merosakkan kulit batang yang dipacak di dalam polibag. Apa kata... Kalau anda yang memiliki pokok kemunting di laman rumah mencubanya..

Semoga pokok liar ini akan menjadi pokok hiasan laman yang tidak lagi menghadapi ancaman kepupusan baka disebabkan pesatnya pembangunan dan penrokaan tanah.

Friday, November 14, 2014

NOVEMBER DAN DISEMBER


PENGHUJUNG tahun dengan kadar kelembaban dan taburan hujan yang banyak adalah ruang yang paling sesuai untuk saya menjalankan kerja mencungkil pokok induk untuk diceraikan, membuat kerat batang untuk semaian semula.

Saya lebih gemar mencari anak benih yang tumbuh secara semulajadi di bawah rimbunan pokok besar. Anak kemunting ini bercambah hasil bawaan burung terutama merbuk yang bertenggek di dahan pokok yang besar.

Lazimnya pokok yang dipindahkan pada musim ini tidak mudah terjejas dan cepat pulih. Kesempatan musim hujan ini juga membolehkan kerja memindah pokok ke pasu (re-pot) ke pasu yang lebih besar.

Sama-sama kita kembalikan nostalgia lama ketika kecil-kecil dahulu riang ria bersama kawan-kawan memetik buah kemunting. Bawalah pokok ini ke ruang laman atau paling tidak ke pasu di rumah kita.

Sunday, November 9, 2014

TANAM SEMULA

akar dari pokok induk

Cuba perhatikan persekitaran pokok kemunting yang tumbuh di tengah belukar atau dibaeah naungan semak dan pokok yang besar. Terdapat banyak daun yang gugur. Kering dan sebahagiannya telah reput. Terdapat juga organisma dan serangga yang membantu proses reputan itu. 

Ia adalah kompos semulajadi yang terjadi melalui proses yang natural yang banyak memberi nutrien kepada pertumbuhan pokok kemunting. Tiada siapa yang membajai pokok ini namun kesuburannya pada tahap yang terbaik. Mampu menghijau dan membekalkan buah yang manis untuk burung-burung.

Pemerhatian ini memberi satu ilmu bahawa penggunaan kompos untuk kesuburan pokok kemunting yang ditanam di rumah atau dalam pasu adalah langkah terbaik. Anda boleh beli kompos di kedai pertanian atau cuba untuk menghasilkan sendiri berasaskan teknologi pertanian moden dan pemerhatian alam. Selamat Mencuba. Bawa Kemunting Ke Pasu Yang Indah.





LANGKAH PERLU SELEPAS CERAIAN POKOK INDUK




Satu perkara yang mesti anda ingatkan ketika memindahkan anak akar pokok kemunting dari rumpun induknya. Cungkil dengan cermat menggunakan sudip atau cangkul. Tanah yang terlekat pada akarnya jangan dibuang termasuk kompos dari dedaun kayu yang telah reput. Saya syorkan anda menggunakan media peat blend bagi mengantikan tanah. Media tanaman ini memudahkan proses pengakaran dalam tempoh yang cepat.PASTIKAN POKOK KEMUNTING TERUS HIDUP DAN TIDAK PUPUS

Saturday, November 8, 2014

KEMUNTING; BILA SESUAI DITANAM?

Penghujung tahun dengan taburan hujan yang banyak adalah ruang terbaik untuk menanam pokok kemunting. Dalam keadaan tanah yang lembab ianya banyak membantu proses pengakaran. Anda hanya menyediakan lubang dan masukkan kompos sebelum menanam pokok kemunting.

Pokok kemunting boleh dipilih sebagai pokok pagaran. Ia boleh ditanam dalam satu barisan dengan jarak dekat, berhimpit atau renggang pada ukuran dua meter jarak antara pokok.

Teksturnya akan terserlah apabila anda sentiasa memangkas dahannya. Percambahan pucuk baru dan daun lama menyerlahkan tona warna hijau pekat dan hijau muda adalah satu pemandangan yang cantik. Apa lagi kiranya buah dan bunganya lebat memenuhi bahagian atas pokok. Apa salahnya kalau anda memilih pokok ini sebagai serlahan utama seni laman rumah anda. Pokok klasik tempatan zaman berzaman.

Monday, November 3, 2014

KEMUNTING: DARI HUTAN KE PASU



Pokok tahan lasak tetapi tidak semestinya mudah hidup apabila dipindahkan dari tempat asalnya.

Penggunaan tanah asalnya amat penting pada peringkat awal ianya dipindahkan. Taman untuk beberapa ketika dengan menggunakan polibag yang mampu mengalirkan lebihan air keluar. Tidak digalakkan memberi apa-apa baja pada awal penanamanya dalam polibag. Cuma pastikan media tanah yang digunakan sentiasa lembab dan pokok perlu ditempatkan di kawasan yang redup. Jangan benarkan batang pokok bergoyang atau bergerak-gerak dalam tempoh seminggu. Pokok dikenal pasti pulih apabila ianya mula mengeluarkan pucuk baharu atau daunnya yang kekuningan berubah warna menjadi hijau yang lebih ceria.


POKOK KEMUNTING


POKOK KEMUNTING


Nama Tempatan:Kemunting
Nama Saintifik:Rhodomyrtus tomentosa (Ait.) Hassk.
Nama Lain:Dunduok (kadazan dusun),Gangrenzi(cina),Downy rose myrtle, downy myrtle, hill gooseberry, hill guava,Isenberg bush, myrte-groseille,rose myrtle
Famili:Myrtacea
Lokasi dijumpai:Tumbuhan liar