TIDAK semua keratan yang disemai dijamin hidup dengan mengeluarkan tunas awal dan akarnya. Ia bergantung kepada nasib kerana pada saya kehidupan adalah kuasa mutlak Yang Maha Mencipta. Kita hanya mampu berusaha.
Saya lebih senang menyemai benih kemunting daripada belahan induk yang menggunakan akar yang sedia ada. Walaupun hanya seurat akar yang tertinggal selepas dileraikan dari induknya.. hampir 99 peratus berjaya hidup semula dengan pertumbuhan yang baik.
Apapun. keratan batang pula ianya memerlukan tempoh masa yang agak lama. Terpaksa memotong batang muda (jangan terlalu muda) daripada pokok induk dan mencelupnya dengan hormon pengakar sebelum dibenamkan dalam media yang tersedia di dalam polibag.
Keratan ini perlu diletakkan di kawasan yang redup dengan 50 peratus cahaya bagi mengelakkan batangnya kering. Dedahan panas terik boleh menyebabkan tisu keratan batang termasuk tunas cedingnya hangus dan mati.
Ia tidak boleh digerak-gerakkan. Kedudukannya perlu stabil sehingga keseluruhan akarnya menguasai dan membantu pertumbuhan pokok. Jangan sangka pucuk yang segar bugar keluar dari batang memberi makna pokok itu sudah subur. Pada waktu ini akarnya masih belum tumbuh atau tidak lagi kukuh untuk dipindahkan.
Biarkan ianya berada di tapak semaian sehingga pucuk berkenaan bertukar menjadi ranting dengan jumlah dedaunnya yang banyak. Pemindahan hanya boleh dibuat apabila anda melihat adanya akar-akar muda mulai keluar dari celahan lubang polibag.
Dalam proses semaian keratan batang ini, pastikan media tanah sentiasa lembab yang menuntut anda sentiasa menyiram dan menjengahnya tanpa mengamalkan tabiat semai dan tinggal.
Lebih lama menunggu pertumbuhan dan tumbesaran pokok ialah menggunakan biji benih yang halus.
Ia tetap akan bercambah dalam tempoh seminggu hingga dua minggu disemai. Memerlukan siraman dan ianya lambat untuk membesar terapi akan tampil sebagai pokok yang kujung yang memiliki akar tunjang kecil serta akar rambutnya yang sihat.
SEKADAR PERBINCANGAN DAN MAKLUMAT UNTUK PEMINAT KEMUNTING.
No comments:
Post a Comment