Sunday, December 14, 2014

SEMAIAN POKOK:TIDAK SEMUDAH YANG DISANGKA...



TIDAK semua keratan yang disemai dijamin hidup dengan mengeluarkan tunas awal dan akarnya. Ia bergantung kepada nasib kerana pada saya kehidupan adalah kuasa mutlak Yang Maha Mencipta. Kita hanya mampu berusaha.

Saya lebih senang menyemai benih kemunting daripada belahan induk yang menggunakan akar yang sedia ada. Walaupun hanya seurat akar yang tertinggal selepas dileraikan dari induknya.. hampir 99 peratus berjaya hidup semula dengan pertumbuhan yang baik.

Apapun. keratan batang pula ianya memerlukan tempoh masa yang agak lama. Terpaksa memotong batang muda (jangan terlalu muda) daripada pokok induk dan mencelupnya dengan hormon pengakar sebelum dibenamkan dalam media yang tersedia di dalam polibag.

Keratan ini perlu diletakkan di kawasan yang redup dengan 50 peratus cahaya bagi mengelakkan batangnya kering. Dedahan panas terik boleh menyebabkan tisu keratan batang termasuk tunas cedingnya hangus dan mati.

Ia tidak boleh digerak-gerakkan. Kedudukannya perlu stabil sehingga keseluruhan akarnya menguasai dan membantu pertumbuhan pokok. Jangan sangka pucuk yang segar bugar keluar dari batang memberi makna pokok itu sudah subur. Pada waktu ini akarnya masih belum tumbuh atau tidak lagi kukuh untuk dipindahkan.

Biarkan ianya berada di tapak semaian sehingga pucuk berkenaan bertukar menjadi ranting dengan jumlah dedaunnya yang banyak. Pemindahan hanya boleh dibuat apabila anda melihat adanya akar-akar muda mulai keluar dari celahan lubang polibag.

Dalam proses semaian keratan batang ini, pastikan media tanah sentiasa lembab yang menuntut anda sentiasa menyiram dan menjengahnya tanpa mengamalkan tabiat semai dan tinggal.

Lebih lama menunggu pertumbuhan dan tumbesaran pokok ialah menggunakan biji benih yang halus.
Ia tetap akan bercambah dalam tempoh seminggu hingga dua minggu disemai. Memerlukan siraman dan ianya lambat untuk membesar terapi akan tampil sebagai pokok yang kujung yang memiliki akar tunjang kecil serta akar rambutnya yang sihat.

SEKADAR PERBINCANGAN DAN MAKLUMAT UNTUK PEMINAT KEMUNTING.

Saturday, December 13, 2014

BUAH KEMUNTING


BUAHNYA yang kecil dan masak memang manis rasanya terutama yang berubah warna gelap kehitaman. Ia menjadi makanan yang paling digemari burung merbah. Memakan buahnya dan menjadi agen pembiakan dengan menyebarkan biji benih kemunting bersama tinjanya. Sebab itulah, banyak anak benih kemunting ditemui di bawah pokok rendang yang sering menjadi lokasi burung-burung bertenggek dan berehat.



ADA pihak mengatakan buah kemunting boleh dijadikan ubat sakit jantung manakala akarnya adalah penawar penyakit kencing manis. Daunnya pula adalah ubat cirit-birit. Ia bukan fakta bagi rawatan dan perubatan moden tetapi berasaskan pengalaman dan kemenjadian hasil perubatan 

alternatif iaitu perubatan tradisional.

RAMAI dalam kalangan penghidap kencing manis mencari pokok liar ini di kawasan semak yang berpasir atau kawasan yang berpaya untuk mendapatkan akarnya yang kemudiannya dibersihakan dan direbus untuk mendapatkan ekstraknya. Mereka mendakwa akar pokok ini mustajab untuk penyakit berkenaan selain menghilangkan rasa keletihan.


APABILA saya memaklumkan usaha saya membiakkan pokok kemunting dan memuliharanya dari kepupusan kesan pesatnya urbanisasi yang berlaku, kebanyakan mereka mengangkat ibu jari tanda menyokong.

MEREKA berkata, kajian saintitif perlu dilakukan oleh pakar perubatan moden, hemoepati atau perubatan tradisional untuk mengesahkan kemustajabannya.


JADIKAN KEMUNTING HIASAN LAMAN 
 AGAR GENERASI ALAF BAHARU MENGENALI POKOK LIAR INI


ANAK DARI BIJI BENIH










Friday, December 12, 2014

PENGURUSAN POKOK BERSAIZ BESAR


POKOK Kemunting yang bersaiz besar masih boleh ditanam di dalam pasu yang besar dengan memastikan ukuran ketinggian pokok dengan tinggi dan lebar pasu adalah bersesuaian dan stabil.

Pokok mestilah dipangkas bagi membentuk tekstur daunnya. Percambahan tunas dan pucuk baru akan berlaku dengan pantas selepas dipangkas.

Pastikan bekalan air dan baja yang mencukupi bagi menghasilkan daunan yang hijau dan berkilat. Re-pot boleh dilakukan antara dua hingga tiga tahun sekali.